Assalamualaikum WBT...
Objektif
diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan
ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita
Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan
lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai
serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun
sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia
adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.
1.Sebagai Ketua Keluarga Yang Mulia Dan Bertanggungjawab
Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
2.Sebagai Pemimpin Yang Bijaksana
Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur, tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang unggul dan terbilang.
Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik. Sabda baginda :
" اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "
Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".
3.Memiliki Akhlak Yang Sempurna
Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Ahzab ayat 21 :
Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.
Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan membentuk masyarakat sejahtera.
Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.
Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Begitu juga, jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan tidak ada penghujungnya.
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya : “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hokum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
( Surah al-Jumuah ayat : 2 )
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْن
Selamat Menyambut Maulidur Rasul
c:
0 comments:
Post a Comment